Catatan Terkini JutawanDuniaEmas

Usaha-usaha mengadai EMAS

Salam semua pembaca,

Kali ini saya akan kongsikan perbezaan membuat gadaian di Ar-Rahnu Bank Rakyat(BR) dan membuat gadaian di Ar-Rahnu di Koperasi UNIKEB.

Pada pandangan saya masing-masing ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Mungkin apa yang saya kongsikan di sini dapat menjadi panduan kepada kita semua dalam memilih yang terbaik. Jika terdapat sebarang kesilapan, tegurlah saya. Sesungguhnya saya insan biasa.

Tujuan pajak gadai ada pelbagai. Semuanya bergantung kepada tujuan kita melakukan gadaian. Ada yang melakukan gadaian untuk menambah koleksi emas dan ada pula yang menggadai kerana memerlukan wang, dan pelbagai lagi tujuan. Untuk tujuan ini juga adakalanya kita perlu meneliti keutamaan yang kita letakkan semasa melakukan pajak gadai.

Adakah jumlah pinjaman yang tinggi menjadi keutamaan anda? Di mana kita mahu mendapatkan pinjaman tertinggi atas emas yang kita gadaikan.

atau

Adakah jumlah upah simpan yang rendah menjadi keutamaan anda? Di mana kita sangat mementingkan upah simpan yang rendah berbanding jumlah pijaman kita.

Di sini kita kena memilih antara keutamaan-keutamaan ini. Jika boleh memang kita nak kedua-dua keutamaan ini dapat dipenuhi. Walau bagaimanapun ini perkara yang jarang berlaku. Oleh itu pilihan terbaik berdasarkan keutamaan akan selalu menjadi pilihan kita

Jenis emas juga berkemungkinan akan mempengaruhi pemilihan anda dalam memilih tempat gadaian emas anda. Contohnya adakah anda hendak menggadai jongkong emas (emas 999) ataupun anda mahu menggadai syiling Dinar (emas 916). Perkara Ini adalah sangat penting jika keutamaan anda adalah untuk mendapatkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi. Pada saya upah simpan tidak menjadi keutamaan kerana perbezaan antara satu institusi gadaian tidak jauh berbeza.

Berikut adalah maklumat-maklumat ringkas yang dapat saya kongsikan hasil daripada kajian ringkas yang telah saya lakukan. Di sini saya hanya fokuskan kajian pada emas Public Gold (PG) dan Public Dinar (PD) sahaja. Saya tidak mempunya koleksi emas selain PG dan PD, oleh yang demikian saya tidak dapat melakukan kajian ini ke atas jenis emas yang lain.

Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk mencuba menggadai jongkong emas 20gram PG dan 5 keping syiling 1 Dinar PD yang ada dalam koleksi saya.

Berikut adalah perkara-perkara yang boleh saya simpulkan hasil daripada kajian ringkas ini.

Di BR
1. Jika anda mahu menggadai emas di BR, saya amat menggalakkan anda membuat gadaian emas dari jenis jongkong atau atau syiling emas jenis 999. Ini kerana emas jenis ini membolehkan anda mendapat pinjaman yang tinggi daripada BR. Pada masa kajian ini dilakukan saya boleh mendapat pinjaman sehingga RM1800 bagi emas Public Gold 20gram yang saya ada.

Namun demikian adakalanya mesin uji yang digunakan di BR tidak begitu stabil dalam menilai emas. Mengapa saya berkata demikian, ialah kerana pengalaman-pengalaman melakukan gadaian di BR sering memberikan keputusan yang berbeza-beza. Pada masa lepas apa bila saya melakukan gadaian emas 20gram PG yang saya ada, pihak BR telah menilai emas saya sebagai emas 22.8K (emas 950). Dan pada ketika itu saya telah mendapat pinjaman sebanyak RM1500. Walau bagaimanapun pada ketika kajian ini dilakukan, pihak BR telah menilai emas saya sebagai emas 24K (emas 999) dan pada ketika kajian ini saya telah diberi pinjaman sebanyak RM1800. Oleh yang demikian saya dapat simpulkan di sini, walaupun anda menggadai emas anda walaupun di cawangan BR yang sama, keputusan ujian nilai emas anda mungkin akan berbeza. Ini bergantung kepada pegawai yang melakukan ujian tersebut dan ketepatan mesin pada ketika itu. Walau bagaimanapun pada saya anda masih lagi boleh mendapatkan pinjaman yang tinggi jika anda menggadai emas 999 di BR.

2. Saya agak kurang selesa dalam menggadai Dinar PD di BR kerana, apabila saya cuba melakukan gadaian di BR, pegawai BR telah menilai Dinar PD saya sebagai emas 18K (emas 750) sahaja. Jika anda melakukan gadaian Dinar PD di BR, ini akan menyebabkan pinjaman yang akan anda akan perolehi adalah sangat rendah. (Lagi kemungkinan besar mesin uji di BR tidak berapa stabil dari segi ketepatannya)

3. Upah simpan di BR adalah rendah. Iaitu hanya antara RM 0.65 dan RM0.70 bagi setiap RM100 ke atas nilai Marhun (Nilai emas semasa). Untuk penjelasan lanjut tentang perkara ini anda boleh bertanya pada pegawai di BR.

4. Had jumlah pinjaman bagi setiap gadaian yang boleh anda perolehi di BR adalah lebih tinggi berbanding di koperasi UNIKEB.

5. Tiada kos-kos lain yang perlu anda tanggung apabila membuat gadaian di BR.

Di Koperasi UNIKEB
1. Jika anda mahu menggadai emas di Koperasi UNIKEB, saya amat menggalakkan anda membuat gadaian bagi emas jenis dinar PD atau emas jenis 916. Ini kerana pada pandangan saya mesin penguji yang digunakan di Koperasi UNIKEB adalah lebih stabil. Dinar PD yang cuba saya gadaikan dinilai sebagai emas 916. Tidak seperti di BR, emas 916 saya hanya dinilai sebagai emas 18K (emas jenis 750) yang sangat rendah nilainya.

2. Saya agak kurang selasa untuk menggadaikan jongkong emas PG di Koperasi UNIKEB, ini adalah kerana walaupun emas dinilai sebagai emas 999, tetapi jumlah pinjaman yang akan diberikan adalah lebih rendah kerana menurut pegawai yang bertugas, mereka akan turun satu nilai dalam memberi pinjaman. Oleh yang demikian, walaupun emas dinilai sebagai 999, tetapi pinjaman yang diberikan adalah berdasarkan harga emas jenis 916. Pada ketika saya melakukan kajian kecil ini, pinjaman yang boleh saya perolehi hanyalah RM1500 bagi jongkong emas 20gram PG yang saya ada. Ini adalah lebih rendah daripada apa yang boleh diberikan oleh BR. Perbezaan dalam RM300 ringgit. (Pinjaman BR - RM1800, pinjaman Koperasi UNIKEB RM1500)

3. Upah simpan di koperasi UNIKEB agak tinggi sedikit berbanding BR. Upah simpannya adalah RM0.80 bagi setiap RM100 ke atas nilai Marhun.

4. Had jumlah pinjaman bagi setiap gadaian adalah terhad sehingga RM5000 sahaja bagi setiap gadaian. Jika anda mahu membuat gadaian yang nilainya lebih daripada RM5000, maka anda perlu melakukan proses gadaian lebih dari sekali.

5. Barang yang anda gadaikan di koperasi UNIKEB akan dilindungi insurans. Saya tidak pasti di BR macam mana. Saya terlupa bertanyakan tentang perkara ini di BR. Jika ada sesiapa yang tahu, mungkin anda boleh kongsikan di bahagian ulasan di bawah. Apa yang dimaklumkan kepada saya jika terjadi sesuatu kepada barang yang digadai, contohnya hilang, rosak atau sebagainya, pihak koperasi akan membayar 100% nilai barang gadaian semasa barang tersebut digadaikan.

6. Terdapat beberapa kos tambahan yang perlu anda bayar bila mengadai emas anda di koperasi UNIKEB. Antara kos tambahan tersebut ialah RM10 untuk pendaftaran sebagai ahli koperasi (sekali seumur hidup) dan RM1 sebagai caj pemprosesan bagi setiap gadaian yang dilakukan.

Maklumat tambahan.
Dari segi masa, pihak BR mengambil masa yang agak lama dalam menyelesaikan proses gadaian. Berdasarkan pengalaman saya melakukan gadaian di BR, pihak BR memerlukan antara 1 - 2 jam bagi menyelesaikan proses gadaian. Jika anda mengejar masa maka kurang sesuai untuk anda membuat gadaian di BR.

Apa yang berlaku di BR, pertamanya, anda perlu mendapatkan nombor giliran terlebih dahulu. Apabila nombor anda dipanggil, anda akan diminta ke bilik khas dimana proses penilaian ke atas emas anda akan dilakukan. Proses akan mengambil masa lebih kurang 5 - 10 minit. Setelah proses ini selesai, anda akan diminta tunggu diluar, sehingga nama anda dipanggil oleh pegawai yang berada di kaunter hadapan. Pegawai di kaunter hadapan akan memanggil anda untuk menandatangani beberapa dokumen dan menyerahkan wang pinjaman kepada anda. Masa menunggu inilah yang kadangkalanya memakan masa yang agak panjang. Pernah saya terpaksa menunggu sehingga 1 jam lebih. Saya ada bertanyakan tentang kelewatan ini kepada pegawai di kaunter hadapan. Menurutnya kelewatan ini adalah disebabkan pegawai yang biasanya bertanggungjawab ke atas urusan gadaian ini bercuti. Apa yang berlaku mereka terpaksa mengambil alih tugas tersebut, di mana menurut beliau banyak maklumat yang perlu dimasukkan di dalam sistem. Jika pegawai yang menguruskan urusan gadaian ini ada, maka proses memasukkan maklumat akan dilakukan oleh beliau, dan pegawai di kaunter hadapan hanya perlu menguruskan proses pembayaran sahaja. Apabila beliau bercuti, maka tugas terpaksa diambil alih oleh pegawai di kaunter hadapan dan dalam masa yang sama pegawai ini terpaksa juga melaksanakan proses pembayaran. Walau apapun, ini hanyalah pengalaman saya, mungkin lain orang ada pengalaman yang berbeza. Jika pengalaman anda berbeza mungkin, anda boleh kongsikan juga di bahagian ulasan di bawah.

Di Koperasi UNIKEB pula agak berbeza, di mana proses hanya berlaku di kaunter hadapan. Kaunter hadapannya macam kaunter di kedai emas. Penggadai dan pegawai dipisahkan oleh cermin dan grill. Proses gadaian juga agak cepat kerana, proses gadaian dan proses pembayaran dibuat dikaunter. Tidak perlu masuk ke bilik khas seperti di BR.

Selain daripada itu, apabila anda mengadai emas di koperasi UNIKEB, anda hanya perlu membawa emas anda sahaja. Pegawai koperasi tidak meminta langsung sijil atau pun resit pembelian emas tersebut. Sijil di simpan oleh pemilik emas. Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku saya nasihatkan bawa juga la sijil emas anda bersama. Berbeza di BR adakala prosesnya agak berbeza. Pertama kali saya menggadai emas di BR, sijil dan resit belian di "photocopy" dan diserahkan semula kepada saya untuk disimpan, tetapi kali kedua saya menggadaikan emas saya, pihak BR masih melakukan salinan sijil dan resit belian emas tersebut, tetapi sijil asal dan resit asal tidak dipulangkan kepada saya, tetapi diletakkan di dalam plastik bersama dengan emas yang saya gadaikan. Saya ada bertanya perkara ini kepada pegawai bertugas, memandangkan pada sangkaan saya mungkin pegawai tersebut terlupa untuk menyerah kembali sijil dan resit asal itu kepada saya. Tetapi bila saya bertanya tentang hal ini, beliau memaklumkan kepada saya bahawa semua resit dan sijil perlu disimpan sekali dengan emas yang digadai. Disebabkan perkara ini dilakukan oleh pihak Bank, maka saya tidak teragak-agak dengan perkara ini. Kalau di tempat lain mungkin perkara ini akan membuatkan saya kurang selesa. Jadi kesimpulannya di sini pegawai berbeza akan melakukan proses yang agak berbeza.

Satu lagik perkara, mungkin ini adalah perkara yang sangat penting untuk anda semua ketahui. Saya ada bertanyakan kepada pegawai di BR akan masalah penerimaan emas PG untuk gadaian. Mengikut maklumat yang diberikan pihak BR hanya tidak menerima emas yang dibeli daripada Etika Emas sahaja, bagi emas PG tidak ada masalah. Kenapa? Itu saya tidak pasti. Mungkin disebabkan oleh kes yang dihadapi oleh Etika Emas.

Walau bagaimanapun, macam apa yang anda ketahui, putremas pernah cuba melakukan gadaian di BR dan apa yang terjadi pihak BR tersebut memaklumkan mereka tidak menerima emas PG atas sebab-sebab tertentu. Dan adakalanya alasan yang diberikan untuk tidak menerima tidak munasabah langsung, Mungkin pihak BR perlu meneliti proses gadaian dan menjadikannya standard bagi semua cawangannya. Apa yang berlaku kini, lain cawangan lain kaedah pelaksanaannya dan penerimaannya. Ini adalah penting kerana prosedur yang berbeza akan membebankan pengguna, walhal BR ini adalah Bank Rakyat. Kita mesti pilih. Bagaimana kita mesti pilih jika perkara seperti ini tidak diperbaiki oleh pihak BR. Jadi apa yang saya boleh katakan, sama ada terima atau tidak terima emas PG nie bergantung kepada pegawai yang bertugas di cawangan BR. Mungkin mereka hanya menjalankan arahan daripada pihak pengurusan cawangan. Maka kita pun tidaklah boleh 100% menyalahkan mereka. Cawangan ibu pejabat BR perlu melakukan sesuatu.

Akhir sekali, tempoh pinjaman bagi kedua-dua BR dan Koperasi UNIKEB adalah sama, iaitu 6 bulan. Jika anda ingin melanjutkan tempoh gadaian, anda hanya perlu menjelaskan upah simpan semasa, dan tempoh gadaian anda akan dilanjutan sehingga 6 bulan lagi. Perkara ini adalah sama bagi BR mahupun Koperasi UNIKEB.

Saya rasa itu sahajalah hasil kajian kecil saya. Saya harap hasil kajian yang tidak seberapa ini mampu membantu anda dalam memilih tempat untuk gadaian emas anda.

Sekian... wassalam


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy

0 comments: